Pages

Saturday, March 31, 2012

::SEKOLAH KLUSTER::




~Gambar Hiasan~

Sekolah kluster ialah satu jenama yang diberi kepada sekolah yang dikenal pasti cemerlang dalam klusternya daripada aspek pengurusan sekolah dan kemenjadian murid. Pewujudan sekolah kluster bertujuan melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan Malaysia dan membangun sekolah yang boleh dicontohi oleh sekolah dalam kluster yang sama dan sekolah lain di luar klusternya.
Pemilihan sekolah kluster akan dibuat berdasarkan kepada kluster berikut:
  • Sekolah Rendah yang terdiri daripada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Orang Asli.
  • Sekolah Menengah yang terdiri daripada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Harian, Sekolah Premier, Sekolah Seratus Tahun, sekolah dalam persekitaran Putrajaya dan Cyberjaya, dan Sekolah Model Khas.
  • Sekolah Rendah Pendidikan Khas (SPK) dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK), dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV).
  • Sekolah Antarabangsa dan Sekolah Swasta
  • Institusi lepas menengah seperti Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG)
Pemilihan sekolah tersebut perlu memenuhi prasyarat dan syarat berikut:


Prasyarat Pertama

  • Pengukuran Standard Sekolah
    Sekolah mestilah mencapai sekurang-kurangnya Taraf Cemerlang berdasarkan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM)
Prasyarat Kedua
  • Kecemerlangan Kurikulum (Sekolah Menengah)
  • Gred Purata Sekolah (GPS) untuk peperiksaan awam PMR dan SPM 3 tahun berturut-turut:
    - SBP : GPS 2.5 dan ke bawah
    - SMKA : GPS 3.0 dan ke bawah
    - SMT : GPS 4.0 dan ke bawah
    - SM Harian : GPS 4.0 dan ke bawah
  • Kecemerlangan Kurikulum (Sekolah Rendah)
  • Sekolah Rendah Harian : 80% dan ke atas murid lulus semua mata pelajaran dalam UPSR, atau
  • Peratus kelulusan menunjukkan peningkatan; atau
  • GPS UPSR : 2 dan ke bawah
Syarat Pemilihan:
  • Kecemerlangan murid dalam aspek:
    - Akademik
    - Kokurikulum
    - Sahsiah
  • Pengurusan sekolah berwawasan dan berkesan.
  • Pembangunan sumber terurus dan digunakan secara optimum.
  • Pemimpin sekolah mengamalkan kepimpinan berkualiti.
  • Pengurusan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
  • Iklim sekolah kondusif untuk pembangunan modal insan.
  • Keberkesanan pelaksanaan program KPM
  • Sekolah berwatak
Sekolah yang memenuhi prasyarat dan syarat yang ditetapkan di atas boleh mengemukakan permohonan dan prosedur pemilihan adalah seperti berikut:
  1. Penerimaan pencalonan
  2. Penilaian menggunakan instrumen SKPM dan Annex
  3. Penentuan standard (standard fixing) oleh JK Pelaksana Sekolah Kluster
  4. Kesahan calon dalam Mesyuarat Hal-hal Profesional
  5. Calon dimaklumkan kepada Lembaga Penasihat
  6. Pengumuman oleh YB Menteri Pelajaran