Pages

Friday, March 4, 2011

::KAEDAH PENGAJARAN ASUHAN TILAWAH AL – QURAN::



Pengajaran dan Pembelajaran yang berkesan amatlah penting dalam usaha guru untuk membina pengetahuan kepada pelajar. Untuk memenuhi hasrat itu yang selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara maka seseorang guru itu perlulah memiliki kepelbagaian kemahiran untuk menjana pemikiran pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajarannya.
Dalam matapelajaran Pendidikan Islam guru haruslah lebih kreatif dalam menggunakan kepelbagaian strategi pengajaran dan pembelajaran. Ini adalah bertujuan untuk menarik minat murid serta ilmu pengetahuan yang akan diperolehi akan terus berkekalan serta dapat diamalkan dalam kehidupan seharian.

Bidang Asuhan Tilawah Al – Quran sekolah rendah dapat dibahagikan kepada 2 kemahiran utama iaitu kemahiran bacaan surah – surah tertentu dan kemahiran menghafaz surah – surah tertentu. Antara strategi dan kaedah pengajaran dan pembelajaran di dalam bidang ini yang dapat dilaksanakan oleh guru ialah :

1. KAEDAH MENDENGAR SERTA MENYEBUT.
 
Kaedah ini merupakan satu asas yang penting terutamanya dalam proses pengajaran dan pembelajaran al – quran. Ianya amat berfaedah kepada murid – murid serta guru dalam usaha memastikan murid – murid benar – benar dapat menguasai bacaan atau menghafaz sesuatu surah tertentu. Guru bertindak sebagai sumber dan murid – murid pula akan menggunakan sumber dari guru untuk tujuan pembelajaran. Guru menyebut atau melafazkan sesuatu lafaz bacaan dari surah – surah tertentu dan murid – murid pula akan mengulangi lafaz bacaan guru tersebut. Selain daripada guru teknik menggunakan radio atau bahan teknologi yang lain juga amat digalakkan dalam usaha menarik minat murid – murid.
Melalui kaedah menyebut dan mendengar ini guru dengan mudah dapat mengenal pasti murid – murid yang kurang mahir atau lemah dalam menyebut semula lafaz – lafaz bacaan surah – surah tersebut. Ini memberi peluang kepada guru untuk memberikan perhatian yang lebih atau proses pemulihan dapat dilaksanakan dengan segera. Usaha dengan menggunakan kaedah ini akan dapat menghasilkan pembelajaran dengan lebih efektif dan berkesan.

2. KAEDAH TALAQQI DAN MUSYAFAHAH.
 
Mempelajari al – quran bukanlah suatu usaha yang mudah. Guru perlulah mengambil berat serta memainkan peranan yang lebih dalam memastikan murid – murid benar – benar dapat membaca atau menghafaz bacaan surah – surah dengan betul dan fasih. Penggunaan kaedah Talaqqi dan Musyafahah dilihat sebagai pemangkin utama dalam usaha ini. Guru secara terus dapat mengenali sejauh mana pencapaian murid – murid dalam menguasai bacaan atau hafazan surah – surah tertentu. Murid juga berpeluang untuk memperbetulkan bacaan atau hafazan mereka secara terus ketika berhadapan dengan guru.
Kaedah ini amat sesuai digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran asas tilawah kerana sesuatu bacaan atau hafazan itu seharusnya tepat dan bertepatan dengan syariat islam. Ianya juga suatu kaedah yang cukup berkesan dalam memastikan guru dan pelajar dapat meneruskan bacaan atau hafazan untuk surah – surah yang seterusnya.

3. KAEDAH LATIH TUBI.
 
Bacaan dan hafazan sesuatu surah akan lebih mudah dikuasai oleh murid – murid apabila ianya diulang – ulang serta di amalkan selalu. Oleh itu dalam usaha memastikan murid – murid mudah menguasai bacaan atau hafazan sesuatu surah itu, kaedah latih tubi juga memainkan peranan utama dalam memantapkan lagi hasil bacaan dan hafazan surah – surah terhadap diri murid – murid tersebut. Proses pengulangan serta amalan seharian ini yang dilaksanakan secara berterusan dengan bimbingan guru sudah pastilah dapat dikuasai dengan mudah serta cepat oleh murid – murid.Contohnya dilaksanakan kaedah ini setiap kali guru ingin memulakan pengajaran serta diakhir pembelajaran.

Kaedah ini cukup mudah dilaksanakan dan ianya cukup berkesan kerana murid – murid akan lebih mudah menerima sesuatu ilmu atau kemahiran apabila ianya sering diulang – ulang. Bukan sekadar murid – murid akan memperolehi ilmu pengetahuan yang baru tetapi ianya lebih mudah diamalkan dalam kehidupan seharian. Contohnya bacaan al – fatihah yang sering diulang atau dilatih tubi bacaannya.Murid – murid secara tidak langsung akan fasih serta dapat nmengamalkannya dalam solat seharian mereka. Amalan seharian yang dilaksanakan oleh murid – murid ini merupakan satu kekuatan dalam mengaplikasikan kaedah latih tubi ini.

No comments: