Pengajaran merupakan satu proses yang merangkumi aktiviti-aktibiti perancangan, pelaksanaan, penilaian dan maklumbalas. Fungsi utama model pengajaran ialah memberi peluang kepada perancang mengajar dan guru tentang langkah-langkah mengajar yang utama supaya membolehkan mereka merancang serta melaksanakan proses pengajaran.
Dengan adanya model pengajaran, guru dapat membentuk rangka pengajaran yang lengkap untuk penyelia dan penyelidik dalam proses pengajaran sebagai rujukan dan sebagai asas bagi guru dalam sesi maklumbalas serta pengubahsuaian untuk pengajaran yang selanjutnya. Empat model pengajaran iaitu model ekspositori, model Inkuiri, model inkuiri-penemuan dan model perbincangan dalam konteks biasa.
Model ekspositori
Model ekspositori bermaksud penerangan yang jelas dan terperinci. Dalam konteks pengajaran ekspositori merupakan penyampaian maklumat atau isi kandungan pelajaran secara langsung kepada murid-murid di dalam kelas.
Oleh itu, kaedah ekspositori ialah cara penyampaian pelajaran melalui penerangan, bercerita atau demonstrasi dengan tujuan mengajar sesuatu. Dalam model ekspositori ini, guru memberi penerangan terlebih dahulu dan murid mendengar dengan teliti hingga mereka memahami dan mengingatinya atau merekodkan isi pentingnya dalam buku nota mereka.
Misalnya, guru boleh menggunakan model ini untuk menerangkan konsep, hukum, prinsip atau teori matematik. Cara-cara penyampaiannya dengan menggunakan model ekspositori iaitu menerang, menginterpretasi dan menghuraikan idea dan konsep daripada buku teks. Guru membuat penerangan, memberi contoh dan menghuraikan konsep daripada buku. Guru juga mendemontrasikan cara melukis atau membina bentuk-bentuk geometri. Guru juga menerangkan langkah-langkah penyelesaian masalah berdasarkan kemahiran-kemahiran yang telah dipelajari serta menerangkan sesuatu konsep dengan menggunakan alat bantu mengajar.
Kesan daripada Model Pengajaran Ekspositori ini, boleh dikatakan ianya sesuai digunakan untuk mengajar konsep dan kemahiran sesuatu pelajaran dalam peringkat perkembangan. Di dalam peringkat ini, guru boleh menghuraikan konsep secara lisan sambil menulis fakta-fakta yang penting di papan hitam supaya murid-murid dapat melihat dan memahami konsep atau perinsipnya.
Kebaikan model ini ialah guru dapat menjimatkan masa kerana kaedah ini guru dapat menyampaikan terus semua maklumat dalam masa yang singkat dan murid hanya duduk diam dan mendengar sahaja.
Model Inkuiri
Kaedah Inkuiri merangkumi segala proses soal selidik untuk mendapatkan jawapan atau kesimpulan daripada soalan, atau daripada masalah yang dikemukakan. Aktiviti soal selidik ini memerlukan murid mengenal pasti soalan bermasalah, membentuk hipotesis, merancang aktiviti kajian, menjalankan kajian siasat dan membuat rumusan atau mendapatkan jawapan.
Kaedah inkuiri boleh dikendalikan berdasarkan salah satu daripada tiga model iaitu;
i) model inkuiri sains yang digunakan untuk mengkaji prinsip, fenomena dan ciri-ciri unsur sains. Proses penyelesaian masalah bagi model ini iaitu mengenal pasti masalah, mencari maklumat, membuat hipotesis, menilai dan membuat rumusan.
ii) model inkuiri sosial yang digunakan untuk mengkaji topik-topik yang berkaitan dengan bidang bkemasyarakatan dan kemanusiaan. Proses kajian adalah berlandaskan kepada aktiviti pemerhatian, temubual atau soal selidik.
iii) model inkuiri juris prudental yang digunakan untuk mencari kebenaran dan ketepatan isu-isu seperti balajar Sains dan Sastera. Proses inkuiri ini adalah berlandaskan kepada aktiviti perdebatan.
Model Inkuiri-Penemuan
Model ini sebenarnya terhasil daripada gabungan kaedah inkuiri dan kaedah penemuan. Namun kaedah inkuiri dan kaedah penemuan adalah berlainan, tetapi pendekatan, strategi, tujuan, prinsip dan langkah-langkah menjalankan aktiviti kajiannya adalah sama.
Seperti kaedah inkuiri dan kaedah penemuan, model inkuiri-penemuan merangkumi semua aktiviti merancang, menyiasat, menganalisis dan menemui. Pembelajaran melalui kaedah ini memerlukan kemahiran-kemahiran seperti membuat perbandingan dan mencari ciri-ciri yang sama untuk membentuk suatu generasi yang diharapkan.
Pada amnya, aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan kaedah inkuiri dan penemuan mengandungi lima peringkat utama iatu peringkat mengenal pasti topik kajian, merancang strategi penyelesaian, mengumpul maklumat yang berkaitan, mengkaji dan menganalisis maklumat dan membuat generalisasi atau rumusan.
Model Perbincangan Dalam Konteks Biasa
Model perbincangan biasa ini adalah sesuai untuk strategi pengajaran dan pembelajaran keseluruhan kelas di antara guru dengan murid, dan kumpulan-kumpulan kecil (sesi buzz) di antara murid dengan murid.
Langkah-langkah perbincangan ini biasanya mengandungi lima peringkat, iaitu: peringkat rancangan, permulaan, perbincangan, rumusan dan penutup.
Peringkat Rancangan
- Tetukan topik perbincangan yang sesuai dengan objektif pelajaran, kebolehan dan minat murid.
- Sediakan bahan-bahan dan kemudahan yang diperlukan.
Peringkat Permulaan
- Guru menerangkan tujuan perbincangan dan konsep topik yang berkaitan.
- Bahagikan kelas kepada kumpiulan-kumpulan kecil.
- Lantik pengerusi dan pencatat bagi setiap kumpulan.
- Susun meja-kerusi dalam bentuk yang sesuai.
Peringkat Perbincangan
- Pengerusikan menggalakkan setiap ahli memberi pendapat masing-masing.
- Ahli-ahili kumpulan mengemukakan pendapat mereka.
- Pencatat merekodkan pendapat-pendapat mereka yang dikemukakan.
- Guru bergerak dari satu kumpulan ke satu kumpulan yang lain untuk memberi bimbingan supaya perbincangan murid tidak terpesong daripada tujuannya.
Peringkat Rumusan
- Kumpulan-kumpuilan kecil dibubar dan duduk semula dalam bentuk keseluruhan kelas.
- Pencatat memainkan peranan sebagai pelapor dengan menyampaikan hasil perbincangan mereka di depan kelas.
- Guru membimbing pelapor membuat penyelarasan antara pendapat-pendapat yang dikemukakan.
Peringkat Penutup
- Guru membuat rumusan dan ulasan tentang perbincangan yang telah dijalankan.
- Murid-murid merekodkan rumusan atau atau isi-isi penting dalam buku nota mereka.
1 comment:
assalamualaikum cik Thur..
saya nak tanya implikasi transformasi kspk dan kssr kepada kurikukum pendidikan islam?
Post a Comment