Soalan: Bincangkan Konsep- konsep asas dalam pembentukan/ pembinaan Tamadun Islam
1.0 TAKRIF TAMADUN ISLAM
Perkataan tamadun sering digunakan untuk menggambarkan kemajuan kebendaan sesebuah masyarakat. Dari perspektif semasa pula, perkataan tamadun selalunya merujuk kepada pencapaian yang tinggi dalam sains dan teknologi. Sebenarnya perkataan tamadun dari sudut etimologi berasal daripada perkataan maddana dalam bahasa arab yang merupakan kata kerja dan membawa maksud perbuatan membuka Bandar atau kota serta perbuatan memperhalus budi pekerti. Daripada perkataan maddana diterbitkan perkataan madani yang merujuk sifat sesuatu yg berkaitan pembangunan pembandaran serta kehalusan budi pekerti yang terpuji. Kedua-dua perkataan maddana dan madani sendiri sebenarnya berasal daripada deen yang bermaksud agama, iaitu menggambarkan kehidupan beragama.
Perkataan bahasa arab lain yang turut digunakan untuk mentakrifkan tamadun ialah hadarah yang berasal daripada perkataan hadara yang merujuk kepada perbuatan duduk di bandar dan perilaku kehidupan yang tinggi. Hadarah juga bererti tinggal menetap dalam sesebuah wilayah, daerah atau bahagian ibu kota dan bandar.
Bedasarkan perkataan Umran, pula adalah berasal daripada Firman Allah s.w.t. dalam Surah Hud ayat 61 yang membawa maksud “Dia lah Yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendakikamu memakmurkannya”. Perkataan ini telah digunakan oleh Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah abad 14M.
Bedasarkan pengertian-pengertian yang dikemukakan, konsep ketamadunan sepatutnya dilihat dari perspektif yang meliputi pencapaian tatasusila dan moral yang tinggi serta kemajuan penempatan dan kemudahan yang sempurna. Bagaimanapun, konsep ketamadunan yang sering difahami oleh masyarakat hari ini lebih menjurus kepada pekara yang berkaitan dengan kemajuan penempatan dan kemudahan yang sempurna semata-mata. Lebih buruk daripada itu, tasawur terhadapp kemajuan penempatan dan kemudahan disempitkan lagi kepada soalan kebendaan yang menjadi simbol kemewahan. Kemuncak kewujudan sesebuah tamadun bukanlah digambarkan oleh limpahan kemewahan tetapi suasana kemakmuran sebagaimana ungkapan umran yang digunakan oleh Ibn Khaldun.
Berkisar di sebalik tiga istilah utama umran, hadarah,madaniyyah. Menurut pandangan
Sarjana Islam:-
i) Naquib Al Attas: Keadaan kehidupan insan bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya.Di dukung oleh konsep tauhid dan kesatuan ummah
ii) Al-Syirazi-perbincangan ttg sesuatu kekuasaan,kehebatan,kemakmuran,kemajuan sesuatu bangsa,pemerintahan yang berilmu,beradab,kemajuan industri,pembangunan ekonomi
Bagi pandangan Sarjana Barat pula:-
Darcy Riberio:
Dalam bukunya The Civilization Process berpendapat bahawa tamadun mempunyai kaitan yang rapat sekali dengan perbandaran.
Clive Bell:
Dalam bukunya Civilization and Old Finds menjelaskan bahawa tamadun merupakan satu kriteria masyarakat. Hal ini bererti bahawa tamadun merupakan kata ukur yang dapat menyukat atau menentukan tahap pencapaian sesuatu tamadun.
Karl Wittfogel:
Dalam bukunya Approaches to Asian Civilization mendefinisikan tamadun sebagai ciri kebudayaan secara keseluruhan daripada sesuatu negara.
Toynbee:
Sistem masyarakat yang dapat membantu manusia menambah hasil pengeluaran atau produktiviti dan mempunyai empat elemen, ekonomi,politik,pengetahuan dan seni.
Takrifan yang diberikan oleh sarjana Islam lebih tepat dan menyeluruh daripada sarjana barat. Ini kerana sarjana barat kurang menekankan unsur keagamaan sebagai asas dan sumber pembinaan sesuatu tamadun. Sarjana Islam menjadikan unsur agama sebagai asas dan sumber utama dalam pembinaan dan pencapaian sesuatu tamadun. Sesungguhnya tamadun Islam itu paling istimewa, mengatasi dan dibezakan daripada tamadun yang lain dalam dua faktor iaitu sumbernya (al-Quran dan as-Sunnah) dan asasnya (akidah, syariat dan akhlak).
2.0 KELAHIRAN TAMADUN ISLAM
Tamadun Islam lahir di Makkah pada tahun 610M, serentak dengan kelahiran agama Islam
dan perlantikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai Rasul Allah. Nabi Muhammad s.a.w berpindah ke Madinah pada tahun 623M, di sana tertubuhnya sebuah Kerajaan Islam yang dipimpin oleh baginda. Kerajaan Islam inilah yang telah menjadi pendorong dan sebab berkembangnya Tamadun Islam, Tamadun Parsi, Tamadun India, Tamadun Yunani, Tamadun Mesir dan Tamadun Romawi banyak mempengaruhi Tamadun Islam yang baru lahir
3.0 KONSEP ASAS PEMBINAAN TAMADUN ISLAM
Tamadun Islam itu merupakan suatu tamadun yang telah diadun dalam bentuk antara bangsa. Sifatnya terbukti di dalam berbagai-bagai bidang kemajuan, terutama sekali dalam bidang kesenian, dan ini termasuk juga senibina. Berbagai-bagai bentuk hasil kesenian dan senibina adalah lahir daripada Tamadun Islam. Adunan ini berpandukaِn kitab perundangan Islam, iaitu al-Quran dan al-Hadis. Ia adalah tamadun yang baru, melambangkan keperibadian Islam yang terus berkembang untuk memberi sumbangan terhadap kehidupan manusia keseluruhannya.
3.1 SUMBER-SUMBER TAMADUN ISLAM
i) Al-quran
Mukjizat yang menerangkan tatacara bagaimana manusia yang diamanahkan oleh Allah SWT sebagai khalifah bagi membentuk serta mentadbir alam sejajar dengan kehendakAllah SWT
ii) Hadis
Menjelaskan dan menerangkan perkara berkaitan perintah Dan larangan Allah SWT di dalam Al-Quran
iii) Ijmak,qiyas,istihsan
iv) Akal fikiran
v) Penemuan baru
3.2 HUBUNGAN TAMADUN DENGAN AGAMA
Kehidupan yang berbudi pekerti mulia dan bermoral tinggi merupakan satu pekara yang penting dalam kehidupan bertamadun. Kemunculan tamadun-tamadun silam sebelum ini merupakan manifestasi kepada kehidupan beragama yang berperanan membentuk pandangan semesta dan nilai kehidupan yang terpuji dalam masyarakat ketika itu. Pekara ini dapat dapat dilihat sendirii kepada peninggalan bangunan dan barangan tamadun-tamadun silam yang dapat menggambarkan penghayatan yang tinggi terhadap kehidupan beragama.
3.3 HUBUNGAN TAMADUN DENGAN KEBUDAYAAN
Kebudayaan diertikan sebagai cara hidup. Kebudayaan Islam bererti cara hidup Islam. Kebudayaan Barat adalah cara hidup orang Barat. Kebudayaan Islam adalah cara hidup Islam mengikut apa yang terdapat di dalam al-Quran dan al-Hadis Nabi s.a.w. Kemajuan dan pencapaian hidup manusia mempunyai perkaitan dengan jasmani seperti pertanian, perkilangan, perlombongan dan perindustrian. Sistem yang dapat mengatur aktiviti masyarakat ke arah mewujudkan keamanan, keadilan, serta kebenaran yang dapat menegakkan disiplin dalam masyarakat seperti peraturan-peraturan pentadbiran, perundangan, harta benda, dan hal-hal keluarga. Kemajuan hidup juga merupakan kebahagiaan yang berkekalan dengan mengetahui hakikat diri dan alam sekitar, perpindahan ke alam barzakh. Ini adalah juga bersangkutan dengan pegangan dan kepercayaan dalam kewajipan yang telah digariskan oleh Syariat Islam.
3.4 PRINSIP-PRINSIP TAMADUN ISLAM
1. Memelihara agama
Fitrah semulajadi manusia hendakkan agama,manusia bebas memilih agama masing-masing, dan “tiada paksaan dalam beragama”. Menyerah diri kpd Allah dgn mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan larangan.
2. Memelihara nyawa atau jiwa
Menjamin nyawa atau jiwa daripada pencerobohan manusia lain. Larangan membunuh dan membunuh diri. Firman Allah dalamSurah Al Maidah 5:32 “Barangsiapa yang membunuh seorang manusia bukan kerana hukuman pembunuhan atau kerana membuat bencana dalam negeri,maka ertinya orang itu telah membunuh manusia seluruhnya”
3. Memelihara akal
Mengharamkan minuman keras. Firman Allah dalan Surah Al Maidah 5:90 “Wahai org yang beriman,sesungguhnya minuman arak,berjudi,berkorban utk berhala,mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji,termasuk perbuatan syaitan.Maka jauhilah perbuatan itu,agar kamu mendapat keberuntungan”
4. Memelihara maruah dan keturunan
Mensyariatkan perkahwinan, haramkan zina,pergaulan bebas lelaki perempuan, firman Allah S.W.T dalam Surah al-Israa’ 17:31. “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan. Kami yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepada kamu. Sesungguhnya membunuh mereka satu dosa yang besar”.
5. Memelihara harta
Firman Allah SWT dalam surah Al-Qasas 28:77, “Dan tuntutlah apa yang didatangkan oleh Allah S.W.T kepada kamu untuk hari akhirat dan janganlah kamu lupa habuan kamu di dunia. Buatlah baik sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu dan janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melakukan kerosakan.”
Untuk memelihara keselamatan harta benda yang menjadi hak milik halal bagi individu, tamadun Islam mengharamkan sebarang bentuk pencurian daripada sekecil-kecil harta seperti jarum hinggalah sebesar-besarnya. Hal ini diperjelaskan oleh Allah S.W.T dalam ayat, terjemahannya dalam surah Surah al-Maa’idah 5:38: “Lelaki dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan kedua-duanya sebagai pembalasan daripada apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan daripada Allah”.
6. Memelihara hak kebebasan
Hak Allah SWT:bebas dari taklid,alam bukti kewujudan Allah,bebas dari kesesatan. Hak Manusia: bebas bergerak,bebas bersuara,bebas berpersatuan,bebas beragama.
2.5 MATLAMAT TAMADUN ISLAM
1. Hubungan manusia dengan Allah SWT
Hubungan yang paling tinggi daripada hubungan- hubungan lain. Hubungan dengan pencipta berkekalan dan mutlak serta tidak menyamai dengan sebarng bentuk hubungan lain. Rukun Islam manusia haruslahmempercayai rukun Iman, melakukan Ibadah umum dan ibadah khusus, serta mematuhi syariat yang telah ditetapkan.
2. Hubungan manusia dengan manusia
Terutamanya di dalam sistem muamalah dan kemasyarakatan, meghormati sesama manusia. Manusia dan yang paling mulia disisi Allah adalah yang paling tinggi takwanya. Diskriminasi ras atau perkauman sudah dihapuskan sejak
zaman Rasulullah S.A.W lagi.
3. Hubungan manusia dengan alam sekitar
Manusia yang mengusahakan sesuatu dan memperolehi kemanfaatan. Tidak melakukan perkara yang merosakkan alam sekitar.
2.6 SIFAT-SIFAT TAMADUN ISLAM
1) Sejagat
Kesejagatan tamadun islam bermakna ia tidak terikat dengan bangsa tertentu, sebaliknya seluruh umat berpegang kepada ad-din
2) Terbuka
Tamadun islam yang dilahirkan dan dicipta tidak dibatasi oleh had-had tertentu tetapi ia masih diletakkan di atas garisan panduan syariat islam terutamanya dialog antara tamadun atau interaksi antara tamadun. Ini bermakna keterbukaan ini mewujudkan sikap tolerensi.
3) Sepanjang zaman
Iaitu kesinambungan dan mengalami proses kesinambungan sehingga masa kini. Perkembangannya bermula dengan turunnya wahyu pertama, surah al-alaq dan tidak pernah berhenti, kerana ia tidak dibatasi oleh ruang sempadan atau ruang waktu sehingga hari kiamat.
4) Toleransi
Masyarakat bukan islam tidak dihalang untuk mengamalkan agama dan kepercayaan mereka , sebagai usaha untuk mengekalkan hubungan baik dalam masyarakat dan kepentingan kestabilan.
5) Kesatuan dan Kepelbagaian
Sebarang bentuk kemajuan dan pencapaian dalam tamadun islam, dan dalam pelbagai bidang semuanya di bawah kesatuan akidah islam yang menjurus kearah meng Esakan tuhan, Allah Pencipta Seluruh Alam.
KESIMPULANNYA
Konsep asas pembinaan tamadun islam itu ialah ajaran islam itu sendiri yg mengandungi akhlak, akidah dan syariah. Akidah tawhid membawa implikasi yg mengiktiraf dua realiti, iaitu realiti yg mencipta dan dicipta yang mencipta mempunyai hubungan erat dengan yg dicipta dan ini menimbulkan implikasi pengiktirafan terhadap kekuasaan allah S.W.T. Tamadun islam bertambah kukuh apabila mengamalkan prinsip-prinsip tamadun islam yang memelihara agama, maruah, akal, harta benda dan keturunan di samping hubungan erat manusia dengan maha pencipta, hubungan sesama manusia dan alam sekitar. Sifat-sifat yang ada pada tamadun islam seperti sejagat, toleransi, terbuka, kesatuan dan kepelbagaian juga membantu bagi proses pembinaan tamadun islam dan ianya menjadi kesinambungan sehingga kini.
BIBLIOGRAFI
1) 2004. Tamadun Islam dan Tamadun Asia, Universiti Malaya
2) Abdul Rahman Nawas. 1995. Tamadun Islam. Kuala Lumpur. Pustaka haji Abdul Majid
3) Pemikiran dan Tamadun Islam. 1 April 2010. <http://www.perlis.uitm.edu.my/citu/images/stories/gallery/citu/web/bab%201%20-%20konsep%20tamadun%20islam%20%5Bpp%5D.pdf>
4) Wikipedia Bahasa Melayu. 1 April 2010.<http://ms.wikipedia.org/wiki/Tamadun_Islam>
7 comments:
terima kasih.. note yg sgt membantu.. esok saya ada final exam utk subject pengajian islam.. terimakasih banyak2.. ajip_unikl
wish u best of luck in ur xam..
Syukran..bayk membantu saya siapkan tugasan.
sikit sama dikongsi..kalau banyak apatah lagi..he2
Tq...banyak membantu saya =)
Thanx milion , byk membantu,ringkas dan padat. Wish me lucu for exam Titas.
Saya merupakan pelajar baru bagi TITAS, di sini saya amat keliru dengan prinsip-prinsip tamadun Islam. Kesemua prinsip secara umum terbahagi kepada :-
*memelihara agama, nyawa, akal, maruah dan memelihara harta.
*http://sem2titas.blogspot.com/2013/04/prinsip-prinsip-tamadun-islam.html
*http://pelajartitas.blogspot.com/2012/03/prinsip-tamadun-islam.html
*http://www.slideshare.net/keronuex/nota-lengkap-modul-titasnew
Mohon penjelasan. Terima kasih.
Post a Comment